Garis Panduan IT Outsourcing Agensi-Agensi Sektor Awam
Tujuan garis panduan bagi membantu agensi kerajaan mengenal pasti aktiviti-aktiviti ICT yang boleh dikendalikan oleh pihak pembekal. Dokumen ini juga menggariskan beberapa aspek yang perlu diberi pertimbangan dan perhatian sewajarnya ... oleh agensi sebelum membuat keputusan untuk outsource projek-projek ICT serta aspek-aspek semasa pengurusan outsourcing. Garis panduan ini memberi fokus kepada perkara-perkara yang perlu diambil kira dan dipertimbangkan oleh agensi kerajaan yang bercadang untuk melaksanakan IT outsourcing.
Langkah-langkah Untuk Memperkukuhkan Keselamatan Rangkaian Setempat Tanpa Wayar (Wireless Local Area Network) Di Agensi-Agensi Kerajaan
Surat Arahan ini memaklumkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah membuat satu kajian mengenai penggunaan dan vulnerabilities rangkaian komputer setempat tanpa wayar (wireless LAN) dalam sektor awam, ... dan laporan kajian telah pun disediakan. Laporan ini telah dibentangkan di dalam mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Bilangan 3 Tahun 2006 pada hari Isnin, 9 Oktober 2006. Hasil penemuan dalam laporan yang dibentangkan oleh MAMPU menunjukkan sebahagian besar peralatan Wireless LAN yang dipasang di agensi-agensi kerajaan mempunyai tahap keselamatan yang rendah dan tidak memenuhi tahap keselamatan ICT seperti yang dinyatakan di dalam Malaysian Public Sector Management of ICT Security Handbook (MyMIS) yang dikeluarkan oleh MAMPU pada tahun 2001. Kegagalan mematuhi tahap keselamatan Wireless LAN boleh menjadi salah satu saluran oleh pihak yang tidak berkenaan atau yang berkepentingan untuk memasuki atau menceroboh ke dalam sistem komputer agensi dengan mudah. Sehubungan dengan itu, adalah perlu bagi agensi-agensi Kerajaan membuat kajian terperinci dan memberi pertimbangan khusus dari sudut keselamatan maklumat sebelum menggunakan Wireless LAN yang akan disambung kepada rangkaian atau sistem komputer yang digunakan untuk menyimpan, menghantar dan menerima maklumat terperingkat. Agensi-agensi juga hendaklah memastikan langkah-langkah keselamatan diambil, sebelum melaksanakan Wireless LAN.
Garis Panduan Bagi Mewujudkan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama Atau Key Performance Indicators (KPI) Dan Melaksanakan Pengukuran Prestasi Di Agensi Kerajaan
Pekeliling ini bertujuan untuk memberi penerangan dan panduan kepada Ketua Agensi mengenai strategi, pendekatan dan langkah-langkah bagi mewujudkan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI) dan melaksanakan pengukuran prestasi ... di agensi masing-masing. Pekeliling ini bertujuan mewujudkan satu sistem pengukuran prestasi yang lebih teratur, lengkap dan menyeluruh. Garis panduan ini, antara lain, menerangkan perkara-perkara berikut: (a) Model Pengukuran Prestasi Agensi Kerajaan Berasaskan Proses; (b) Langkah-langkah mewujudkan KPI dan melaksanakan pengukuran prestasi di agensi Kerajaan; dan (c) Strategi bagi mewujudkan KPI dan melaksanakan pengukuran prestasi di agensi Kerajaan. PKPA ini hendaklah dilaksanakan sepenuhnya di agensi barisan hadapah khususnya agensi yang memberi perkhidmatan kaunter kepada orang ramai dan komuniti perdagangan dan perindustrian. Di samping itu, agensi-agensi selain agensi barisan hadapan juga digalakkan melaksanakan PKPA ini.
Penggunaan Sistem Perakam Waktu Elektronik Di Agensi-agensi Kerajaan (Tambahan SPA Bil.11 Tahun 1981)
Surat Pekeliling ini bertujuan untuk menyediakan garis panduan mengenai penggunaan Sistem Perakam Waktu Elektronik oleh agensi-agensi Kerajaan. Surat Pekeliling Am Bil. 11 Tahun 1981 telah menjelaskan kepentingan dan cara penggunaan ... Sistem Perakam Waktu. Selaras dengan perkembangan teknologi masa kini, Sistem Perakam Waktu Elektronik menawarkan alternatif yang lebih baik bagi merakam kehadiran dan pergerakan pegawai dan kakitangan di pejabat. Sehubungan itu, agensi Kerajaan adalah dibenarkan mengguna Sistem Perakam Waktu Elektronik bagi maksud tersebut. Agensi-agensi Kerajaan yang ingin menggunakan Sistem Perakam Waktu Elektronik hendaklah memastikan bahawa Sistem Perakam Waktu Elektronik yang dipilih mempunyai ciri-ciri seperti yang dihuraikan di Lampiran kepada surat Pekeliling ini. Surat Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2004 ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan Surat Pekeliling Am Bil. 11 Tahun 1981 bertarikh 25 November 1981. Dengan itu, agensi-agensi Kerajaan boleh memilih untuk menggunakan Sistem Perakam Waktu Elektronik atau terus menggunakan sistem perakam waktu seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Am Bil. 11 Tahun 1981.
Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet & Mel Elektronik Di Agensi-agensi Kerajaan
Tujuan utama garis panduan ini ialah untuk menerangkan tatacara penggunaan internet dan e-mel, meningkatkan tahap keselamatan sistem komunikasi dokumen rasmi Kerajaan dan mengurangkan risiko gangguan operasi internet dan e-mel. Garis ... Panduan ini mengandungi amalan-amalan terbaik penggunaan internet dan mel elektronik yang patut diikuti oleh semua anggota Perkhidmatan Awam dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa selaras dengan arus perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan perundangan. Dokumen ini hendaklah dibaca bersama dengan dokumen Malaysian Public Sector Management of Information & Communications Technology Security Handbook (MyMIS) dan Buku Arahan Keselamatan.
Standards, Policies and Guidelines - Malaysian Government Interoperability Framework (MyGIF) Version 1.0
Dokumen ini menggariskan perincian cadangan hasil penyelidikan dan analisis yang dijalankan dalam membangunkan Rangka Kerja Malaysian Government Interoperability Framework (MyGIF). Dokumen ini mengandungi maklumat piawaian ICT dan cadangan spesifikasi teknikal ... untuk digunakan dalam MyGIF. MyGIF ini menggariskan set piawaian ICT dan spesifikasi teknikal yang minima diperlukan dalam pentadbiran sistem komunikasi, saluran maklumat dan proses pertukaran data yang berkaitan kementerian, agensi dan jabatan. MyGIF merangkumi lima bidang interoperability iaitu Interconnection, Data Integration, Information Access, Security dan Metadata.
Garis Panduan Semakan Semula Prosedur Dan Proses Kerja Di Agensi Kerajaan
Pekeliling ini bertujuan untuk memberi satu garis panduan kepada Ketua-ketua Jabatan mengenai kaedah dan tindakan bagi melaksanakan semakan semula prosedur dan proses kerja di agensi masing-masing. Ketua-ketua Jabatan hendaklah memantau ... hasil semakan semula yang telah dijalankan dengan tujuan untuk melaksanakan secara berterusan penambahbaikan ke atas prosedur dan proses kerja yang diamalkan di agensi masing-masing.
Penggunaan Dan Pemakaian Data Dictionary Sektor Awam (DDSA) Sebagai Standard Di Agensi-Agensi Kerajaan
Pekeliling ini bertujuan untuk menjelaskan penggunaan Data Dictionary Sektor Awam (DDSA) sebagai standard di semua agensi kerajaan serta menerangkan tindakan yang perlu diambil oleh agensi-agensi kerajaan dalam melaksanakannya. Jawatankuasa Data ... Dictionary Sektor Awam telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1999. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh MAMPU dan dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Tujuh kumpulan kerja telah ditubuhkan untuk membangunkan data dictionary bagi setiap kategori data yang dikenalpasti. Kumpulan-kumpulan kerja ini juga dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan kategori data dictionary yang dibangunkan. Data dictionary yang telah dibangunkan oleh kumpulan-kumpulan kerja ini telah diluluskan untuk pelaksanaan di semua agensi kerajaan oleh Mesyuarat Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK) Bil.1 Tahun 2001 pada 17 Mei 2001 bagi kategori Data Generik dan pada 4 Mac 2002 bagi kategori Data Spesifik. Semua Ketua Jabatan adalah diminta untuk mengambil tindakan-tindakan seperti yang digariskan di dalam pekeliling ini.
Garis Panduan Pelaksanaan Sistem Pemantauan Penguatkuasaan Undang-Undang Di Peringkat Pentadbiran Daerah
Pekeliling ini bertujuan menjelaskan pelaksanaan sistem pemantauan penguatkuasaan undang-undang di peringkat pentadbiran daerah. Sistem Pemantauan Penguatkuasaan Undang-undang (SPPU) ini adalah bertujuan untuk mewujudkan satu mekanisme yang bersepadu bagi menangani masalah-masalah ... penguatkuasaan undang-undang di peringkat pentadbiran daerah. Di antara ciri-ciri utama SPPU ini adalah: (a) Mengenal pasti sebuah jawatankuasa yang sesuai sama ada dengan mewujudkan sebuah jawatankuasa baru ataupun menggunakan jawatankuasa yang sedia ada untuk memantau penguatkuasaan undang-undang; (b) Mesyuarat jawatankuasa berkenaan hendaklah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dengan keahliannya terdiri daripada semua agensi penguatkuasaan di peringkat daerah; dan (c) Bermesyuarat sekurang-kurangnya setiap tiga bulan sekali untuk agensi-agensi penguatkuasaan melaporkan kepada Pegawai Daerah mengenai pelanggaran undang-undang di daerah berkenaan untuk diselaraskan usaha yang memerlukan tindakan bersepadu. Seterusnya Pegawai Daerah akan melaporkan ke peringkat jawatankuasa negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, sekiranya terdapat masalah yang tidak dapat diselesaikan di peringkat daerah. Adalah diharapkan bahawa menerusi pelaksanaan SPPU ini, maklumat mengenai pelanggaran undang-undang yang terkumpul dapat menjadi input kepada Pegawai Daerah dalam perancangan untuk pembangunan sosio-ekonomi yang lebih seimbang. Di samping itu, maklumat yang diperolehi dapat digunakan untuk perancangan dalam mengambil langkah-langkah pro aktif untuk menangani masalah pelanggaran undang-undang.